Sunday, September 6, 2009

Banyak yang telah diperkatakan mengenai kehebatan silat Melayu. Cerita-cerita kehebatan guru-guru silat Melayu selalu kita dengar dan kita baca, tidak sedikit antara nya yang diceritakan oleh orang-orang yang digelar “guru” itu sendiri.

Tetapi ada kemungkinan kehebatan silat Melayu itu sendiri boleh menjadi punca silat Melayu itu sukar untuk dikembangkan dan diterima di persada antarabangsa, terutama yang tidak biasa dengan budaya orang Melayu, berbanding dengan seni-seni beladiri dari budaya lain.

Mengapa saya katakan demikian? Kerana, berani saya katakan, lebih ¾ dari silat Melayu mendapat kehebatan mereka dengan cara ”berdamping” iaitu ada unsur-unsur ilmu ghaib dan makhluk halus. Ini terutamanya untuk silat-silat yang terdapat hanya di sesebuah kampung atau kawasan. Guru-guru silat ini, apabila ditemuramah, akan menceritakan bagaimana mereka berguru/bertarung dengan pelbagai jenis makhluk halus/ganjil sebelum di tabal menjadi guru. Dan untuk menurunkan kehebatan ini perlu ada acara-acara tertentu yang biasanya melibatkan kemenyan, pulut kuning, limau nipis dan sebagainya, disamping amalan ayat-ayat alQuran dan mantera tertentu.

Ini bukan andaian saya semata-mata, tapi yang saya baca dari majalah-majalah dan dengar sendiri dari mulut beberapa guru. Kepantasan tangan, kekuatan pukulan, kekebalan kulit semua nya tidak perlu latihan yang panjang dan sukar, hanya perlu amalan-amalan tertentu untuk mendapat ”pendamping”.

Mengapa saya katakan ianya susah berkembang di persada antarabangsa terutama pada peringkat tertinggi? Kerana kehebatan melalui ”berdampingan” ini seolah-olah hanya dikhususkan kepada bangsa Melayu yang beragama Islam. Ianya tidak dapat digunapakai oleh bangsa Palestin beragama Islam, contohnya, kerana kalau boleh digunapakai sudah tentu ramai pejuang-pejuang Islam Palestin dan Afghanistan, contohnya, kita boleh bawa ke Malaysia untuk belajar dari guru-guru hebat ini supaya mereka kebal dari senjata dan boleh membunuh dari jarak jauh tentera-tentera Israel dan sekutu nya. Malangnya walaupun se agama tapi kita tidak se bangsa, tidak sebudaya.

Kalau dengan saudara seagama tetapi tidak sebudaya pun sudah tidak boleh diturunkan semua kehebatan silat Melayu, bagaimana pula hendak menurunkan segala kehebatan silat Melayu kepada rakan yang bukan seagama dan bukan sebudaya? Sudah tentu ada had yang tertentu kehebatan yang boleh diturunkan.

Berbanding dengan seni beladiri lain seperi karate, tae kwon do, ju jitsu, wing chun, aikido, tai chi contohnya, yang mendapat sambutan meluas di seluruh dunia. Ini kerana semua kehebatan seni-seni ini dapat di turunkan kepada semua orang, tanpa mengira bangsa dan agama, hanya dengan syarat menunjukkan komitmen dan sanggup berlatih tekun. Siapa rajin, dia dapat.

Kehebatan seni-seni ini, walaupun tidak sehebat silat Melayu, boleh di kupas dan diterang prinsip-prinsip nya. Contoh nya aikido dengan prinsip ”dynamic sphere” nya. Semua orang tanpa mengira agama dan budaya, mampu memahami dan mengaplikasi prinsip ini dan mencapai kehebatan tertinggi dalam aikido tanpa perlu ”memeluk” agama shinto dan semangat bushido. Pengamal-pengamal aikido yang mengamal agama shinto dan bushido ialah mereka yang sememangnya pun berminat dengan kajian agama dan budaya, tetapi ia bukan prasyarat untuk menjadi hebat pada peringkat tertinggi dalam aikido. Sekarang ini pun, ramai guru-guru aikido yang mencapai tahap 7 dan - 9 dan berasal dari Eropah dan merupakan tenaga guru yang penting dalam Internationasl Aikido Federation.

Fikirkanlah, jika saudara ada pilihan untuk mepelajari sesuatu seni beladiri A dimana anda mampu mencapai tahap teritnggi kehebatan nya melalui usaha dan perahan tenaga anda sendiri, berbanding satu lagi seni beladiri B yang lebih hebat dari yang seni A tadi tetapi anda tidak mungkin dapat mencapai tahap kehebatan tertinggi itu kerana anda tidak seagama dan sebudaya dengan guru nya. Yang mana satu pilihan anda?

Semoga dapat di renungkan ...

No comments:

Post a Comment