Saturday, April 4, 2009

Nasib "Tuan Tanah"

Beberapa belas tahun yang lalu, saya telah membaca dalam sebuah majalah ketenteraan, Soldier of Fortune, mengenai “kejatuhan” sebuah ketumbukan pasukan khas tentera Amerika Syarikat (USA) iaitu Green Beret. Pada satu ketika dahulu dikatakan Green Beret ini merupakan sebuah pasukan elit yang amat berkesan dan di hormati kawan dan lawan. Sehingga pada satu ketika, dengan kekuatan industri pengiklanan dan pemasaran USA, beberapa filem dikeluarkan menggambarkan kehebatan pasukan ini, khasnya yang melibat pelakon aksi terkenal ketika itu, John Wayne, sehingga keluarlah sebuah lagu yang popular ”The Green Beret”. Pasukan ini juga telah banyak dijemput untuk mengadakan pertunjukan kecekapan mereka di seluruh negara untuk orang awam dan pelajar-pelajar sekolah. Masalah bermula apabila pasukan ini dikatakan telah “percaya pada publisiti diri sendiri” (believe in their own publicity). Kerana terlalu percaya pada publisiti bahawa mereka adalah yang terbaik di dunia, pasukan ini dikatakan telah “hilang taring”, hilang semangat untuk terus berusaha menjadi dan mengekal excellence.

“Percaya pada publisiti diri sendiri” ini ialah satu sifat dan sikap yang boleh membawa kepada tindakan ekstrem yang kejam dan menindas. Contohnya, pihak Nazi percaya kepada “publisiti diri sendiri” bahawa bangsa Aryan adalah bangsa pilihan yang berhak menguasai dunia, dan kita tahu kesan kepada ini menimbulkan kesengsaraan perang dunia kedua dan kekejaman pembersihan etnik kaum Yahudi (walaupun kejadian ini dipertikaikan kesahihan nya).

Pada satu ekstrem lagi, kerana ta’asub bahawa mereka sudah yang terbaik, sikap ini boleh mendorong sesuatu komuniti itu untuk tidak lagi berusaha menambah baik, kerana kalau sudah yang terbaik apa lagi yang perlu di tambah baik? Inilah yang berlaku kepada ketumbukan Green Beret tadi.

Yang menggusarkan, tidak mustahil sikap ini sudah ada pada umat Islam umumnya dan kita bangsa Melayu khasnya.

Mungkinkah oleh kerana kita yakin (yang tidak bertempat) bahawa pertolongan Allah itu akan bersama kita, umat Islam telah mengabaikan keperluan untuk berusaha berterusan menambah baik kedudukan ilmu, ekonomi dan ketenteraan? Sehingga dikatakan perkembangan ilmu umat Islam adalah dalam kedudukan negatif, sehingga kini realiti nya ummat Islam amnya dalam keadaan yang begitu da’if dalam semua aspek sekarang ini? Walhal Allah mengarahkan ummat Islam untuk “...wa’a ‘iddu lahum mastata’tum min quwwah ...”.

Mungkinkah oleh kerana terlalu bersandarkan bahawa kita adalah “tuan tanah” asal negara ini, bangsa Melayu tidak melihat keperluan untuk menambah baik kedudukan ilmu dan ekonomi dalam negara sendiri? Apa pun yang akan berlaku, kita masih “tuan tanah” dan tetap dapat menuntut hak-hak istimewa sebagai “tuan tanah”. Soalan nya berapa lama kita boleh bergantung semata-mata kepada status sebagai ”tuan tanah” dari faktor sejarah dan perlembagaan?

Contoh kecil. Saya baru balik dari PC Fair 2009, dan 100% kedai yang terlibat dalam PC Fair itu ialah kedai rakyat Malaysia berbangsa Cina (bangsa pendatang mengikut definisi ultra-nasionalis Melayu), dan pengunjung nya boleh dikatakan 90% juga bangsa Cina. Ini di Kuching, Sarawak. Mungkin di Semenanjung ada penglibatan bangsa ”tuan tanah” dalam PC Fair 2009 tetapi saya yakin masih tetap 90% pekedai adalah bangsa Cina. Bandingkan bilangan mereka yang hanya lebih kurang 24% dari penduduk Malaysia dan kita dapat gambaran penguasaan mereka dalam bidang teknologi khasnya ICT, bukan sahaja dalam kedai peruncitan tetapi juga dalam syarikat korporat.

Dalam satu lagi bidang, walaupun hanya 7% dari penduduk, tidak dinafikan rakyat Malaysia berbangsa India (juga bangsa pendatang mengikut definisi ultra-nasionalis Melayu), ”menguasai” profesion guaman Malaysia sehingga Majlis Peguam diterajui oleh bangsa India. Jadi tuduhan HINDRAF bawah bangsa India di Malaysia ini bangsa yang dipinggir atau ditindas oleh Kerajaan adalah tidak betul. Apa yang mungkin berlaku ialah golongan elit dan kepimpinan bangsa itu gagal untuk membantu mengagihkan kekayaan dan kemajuan secara lebih seimbang dikalangan bangsa mereka selain nya i.e. jurang kaya-miskin dikalangan bangsa India mungkin jauh besar berbanding bangsa-bangsa lain.

Dimanakah 62% dari Bumiputra, khasnya bangsa Melayu ”tuan tanah” asal negara ini? Adakah ”tuan tanah” tidak ada langsung menguasai mana-mana bidang di tanah sendiri? Ada. ”Tuan tanah” menyumbang dan menguasai industri hiburan. Anak-anak ”tuan tanah” sibuk dengan pengambaran pelbagai filem dan siri TV (yang nanti majoriti yang leka menonton nya juga adalah anak-anak ”tuan tanah”). Anak-anak ”tuan tanah” membanjiri studio-studio dalam pelbagai rancangan realiti hiburan seperti AF, Malaysia Idol dan entah apa-apa lagi. Anak-anak ”tuan tanah” juga menguasai seni jalanan seperti breakdance, shuffling dan mat rempitan (selain lepak-lepak ”biasa”).

Dalam satu rancangan TV beberapa minggu yang lalu, salah seorang ”raja” shuffling (anak ”tuan tanah”) mengaku mereka berada di situ dari pukul 3 petang sehingga tengah malam SETIAP HARI. Bagi yang dalam persekolahan, ini bermakna mereka belum lama habis waktu sekolah. Ini lah kehebatan pelajar-pelajar ”tuan tanah”, dapat menyiapkan kerja-kerja sekolah dan ulangkaji dalam tempoh 1 jam sehingga punya banyak masa terluang untuk melibatkan dalam kokurikulum seni jalanan. Salah seorang remaja perempuan (juga anak ”tuan tanah”) terlibat, apabila ditanya apa kata ibu bapa, menyatakan ibu bapa tak kisah, ibu hanya pesan jangan balik lewat sangat. Sungguh hebat sokongan ibubapa ”tuan tanah” kepada aktiviti kokurikulum anak-anak mereka ini.

Realiti ini mungkin tidak akan disenangi oleh sesetengah pihak, tetapi jika sekarang semua ”bangsa pendatang” ini berhijrah keluar dari Malaysia, menyambut cabaran sesetengah ultra-nasionalis Melayu, berhijrah dengan membawa keluar semua kepakaran dan harta mereka, rasa-rasanya apa yang akan terjadi kepada Malaysia, khasnya dari segi ekonomi? Apa rasanya akan terjadi kepada ”tuan tanah”? Tidak payah hendak fikir jauh lah, kesan ini secara kecil-kecilan dapat dirasai setiap kali menjelang cuti Tahun Baru Cina.

Sampai bila kah kita ”tuan tanah” hendak bersandar terus kepada bilangan yang lebih ramai untuk terus menguasai bidang politik, yang seolah-olah menjadi benteng terakhir untuk menjamin kelangsungan ketuanan ”tuan tanah”.

Tetapi tidak mustahil bilangan yang besar tidak menjamin ketuanan sebenar, hanya ketuanan ”on paper”, ketuanan dalam perlembagaan tetapi hakikat nya dalam kehidupan harian, ketuanan dalam aktiviti ilmu, ketuanan dalam aktiviti ekonomi bukan menjadi milik ”tuan tanah” lagi.

Tidak mustahil bangsa yang minoriti tetapi mempunyai ketuanan dalam bidang ilmu dan ketuanan dalam bidang ekonmi boleh mempengaruhi ”ketuanan politik” bangsa yang majoriti kerana hakikatnya ”ketuanan politik” memerlukan sumbangan ilmu dan ekonomi untuk terus mengekalkan ketuanan nya. Tanpa ketuanan ekonomi sebenar, misalnya, bagaimanakah ahli politik ”tuan tanah” mahu memajukan rakyat agar terus menyokong nya? Tanpa kekuatan ekonomi nya sendiri, sudah tentu ahli politik berkenaan terpaksa mengikut dan menggubal polisi-polisi mengikut kehendak ”tuan-tuan ekonomi” yang memberi sumbangan kepada nya. Jadi ”ketuanan politik” itu hanya satu facade atau ”muka depan” tetapi kuasa penentu sebenar disebaliknya ialah orang yang memegang ”ketuanan ekonomi”.

Contoh paling jelas ialah peranan ”ketuanan” ilmu dan ekonomi kaum Yahudi dalam menentukan dasar-dasar USA khasnya dasar-dasar luar. Dengan bilangan yang kecil, mereka tidak perlu berebut-rebut untuk menjadi Presiden USA tetapi calon Presiden USA tahu tanpa sokongan ”tuan-tuan ekonomi” ini peluang untuk menang memang amat tipis. Sekalipun Presiden USA itu bukan orang Yahudi tetapi hakikatnya dia kena menggubal dasar-dasar yang ”mesra Yahudi” dan ”mesra Israel” mengikut kehendak ”tuan ekonomi” yang menampung kemenangan dan kelangsungan kedudukan nya sebagai ”tuan politik”.

Pokoknya, mengikut ukuran dunia sekarang, sesiapa yang memegang ketuanan ilmu dan ketuanan ekonomi sebenarnya menentukan ketuanan politik.

Kesimpulan nya, rasa-rasanya perlulah bangsa Melayu tidak terlalu ”percaya kepada publisiti sendiri” dan bergantung sepenuhnya dengan status sebagai ”tuan tanah” asal negara ini dengan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan negara. Ingatlah Perlembagaan itu di gubal oleh manusia dan manusia juga boleh mengubah nya. Ketuanan ilmu dan ketuanan ekonomi perlu di tingkatkan untuk mengisi ruang yang menampung ketuanan politik untuk menjadi ”tuan tanah” yang tulen, dari segi sejarah dan juga dari segi kekuatan semasa.

Dan semuanya perlu di selaputi dengan ”ketuanan jatidiri” bangsa Melayu yang beragama Islam agar dalam mengejar ketuanan ilmu dan ekonomi kita pula tidak terlupa diri dan menyimpang dari landasan perjuangan.

Allah hu ’alam.

No comments:

Post a Comment