(Keseluruhan artikel ini ialah petikan dari buku "Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir atau Kurang Zikir?" tulisan Pahrol Mohamad Juoi terbitan Telaga Biru. Tema buku ini juga diambil sebagai tajuk blogsite saya ini)
Survival bangsa Melayu, yang pada sesetengah pihak sangat sinonim dengan soal ketuanan Melayu, sangat bergantung kepada kuasa politik. Selagi Melayu menguasai politik, selagi itulah Melayu akan terus kuat dan berdaulat. Demikian keyakinan yang sering dilaungkan oleh sesetengah pihak untuk menunjukkan betapa satu-satunya tempat orang Melayu berpaut bagi mempertahankan keutuhan dan maruah ialah kuasa politik. Inilah satu satunuya “dahan” untuk Melayu berpaut memandangkan pencapaian dalam bidang ekonomi dan akademik masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Malah Melayu masih perlukan sistem kuota, subsidi dan “imuniti” untuk menghadapi cabaran globalisasi.
POLITIK KOTOR
Ironinya politik yang dianggap kotor itulah nampaknya terus menjadi benteng terakhir untuk mempertahankan orang Melayu agar tidak menjadi ”hamba” dengan gelaran ketuanannya. Namun apakah orang Melayu sudah matang berpolitik hingga membolehkan mereka terus mempertahankan kuasa pada masa akan datang? Atau di bidang ini pun sesuatu yang negatif sedang berlaku yang mana jika tidak ditangani dengan tepat akan menghakis kuasa politik Melayu.
KEKUATAN POLITIK MELAYU TERHAKIS
... Sesetengah ahli akademik beranggapan bahawa gaya dan pola politik Melayu masa kini begitu celaru dan tidak menunjukkan satu kematangan selari dengan usia demokrasi di Malaysia. Ini kerana orang Melayu yang terpecah kepada dua kelompok besar parti politik yang telah saling bercakaran TIDAK KIRA MUSIM, TEMPAT dan SUBJEK.
Titik persamaan yang boleh menjamin manfaat bersama nampaknya semakin kabur dan luntur oleh lautan api permusuhan, dendam dan hasad dengki yang semakin marak.Cara menyerang lawan begitu agresif ... hingga meletakkan situasi pada keadaan ” kalah jadi abu,menang jadi arang”. Pertembungan bukan saja berlaku pada musim pilihanraya tetapi terus berlaku PADA SETIAP MASA DAN PERKARA. Pasca Pilihanraya ke-12 telah menunjukkan betapa buruknya ”wajah politik” orang Melayu.
Pihak yang kalah, seolah-olah tidak boleh menerima hakikat dan terus menyalak yang di atas. Manakala pihak yang menang pula, masih tidak puas hati dan terus menghenyek yang di bawah. TERLUPAKAH KITA BAHAWA KERJA UNTUK ”MEMBINA” SESUNGGUHNYA MASIH BANYAK? MENGAPAKAH KERJA UNTUK ”MERUNTUH” PULA YANG JADI KEUTAMAAN? Sesetengahnya pula sibuk mencari ”kesalahan” orang yang menang hingga terlupa melihat kesalahan sendiri yang menyebabkan kekalahan parti.
PARTI BUSH DAN AL GORE SEBAGAI CONTOH?
Sekadar perbandingan rasanya tidak salah untuk melihat beza gaya politik kita dengan gaya berpolitik di Amerika Syarikat misalnya. Biasanya apabila terjadi pertandingan merebut jawatan Presiden, calon-calon yang bertanding akan begitu agresif berkempen. Namun apabila keputusan pemilihan Presiden diterima tidak begitu memuaskan hati (merujuk kepada kes Al Gore dan George W Bush suatu masa dulu) kedua-dua nya merujuk kepada mahkamah.
Setelah mahkamah memutuskan yang Bush adalah pemenang mutlak, Al Gore menerima nya dan berkata ”Bush ialah Presiden saya dan rakyat Amerika seluruhnya.” Dan selepas itu kata-mengata, tuduh-menuduh, tidak berlaku lagi. Pemimpin yang terpilih boleh terus menjalankan tugasnya, manakala yang kalah, akur dan sanggup memberi ketaatan sebagai rakyat. Selepas itu rakyat Amerika, tidak kira anggota Parti Demokratik atau pun Republican, terus bekerja membina negara dengan polisi dan prinsip yang dibuat oleh parti Republican yang telah diamanahkan membentuk kerajaan.
TUMPUAN RAKYAT BERALIH
Maksudnya, pegawai kerajaan, ahli ekonomi, para profesional, ahli akademik, golongan pekerja dan petani tidak sibuk ”berpolitik” kerana mereka telah memberi tumpuan dan disibukkan oleh tanggungjawab dan peranan masing-masing. Kerajaan pada ketika itu lebih berperanan sebagai jentera negara bukan lagi sebagai jentera parti yang sempit.
Melihat kepada perbandingan tersebut, jelas kematangan berpolitik seumpama itu belum ujud di kalangan orang Melayu di negara kita. Sama ada di pihak mana pun, masing-masing masih kuat terikat dengan kepentingan parti walaupun musim pilihanraya telah berlalu. Akibatnya yang menang gagal ”mengisi” kemenangan manakala yang kalah pula terus ”menyalak bukit”.
ORANG MELAYU BERPOLITIK 24 JAM SEHARI, 7 HARI SEMINGGU
Dan rakyat seluruhnya turut terheret dalam gaya politik ”separuh masak” ini ke jabatan kerjaan, syarikat swasta, pusat pengajian tinggi, masjid, sekolah, kedai kopi, kaki lima dan tempat-tempat lain. Akibatnya ORANG MELAYU BERPOLITK HAMPIR SETIAP MASA, TEMPAT DAN PERKARA.
Malah lebih parah lagi bila keputusan, pertimbangan, penilaian dam pengkajian terhadap sesuatu tidal lagi berdasarkan pada etika kerja, disiplin ilmu atau sikap profesional dalam sesuatu bidang, tetapi lebih dipengaruhi oleh sentimen politik kepartian. Untuk memberi sesuatu jawatan, misalnya, perlu diteliti si polan orang orang parti mana? Kekadang untuk memberi satu tender atau kenaikan pangkat, terlebih dahulu diselidiki pegangan politik seseorang berbanding kemampuan di bidang yang berkenaan.
BUDAYA YANG MERUGIKAN BANGSA SENDIRI
Budaya negatif ini akan merugikan bangsa Melayu secara khusus dan negara secara umum. Politik kalah mati yang diamalkan sekarang jika tidak ditangani dengan baik, akan menyebabkan orang Melayu menjadi semakin emosional dalam menghadapi sesuatu isu. Sikap profesional berdasarkan analisa ilmu dan kepakaran di bidang-bidang tertentu akan terpinggir secara beransur-ansur oleh sentimen kepartian yang melampau dan melulu. ... Yang dominan nanti ialah tenaga kerja yang ada ketaatan (itupun secara mengampu) tetapi tidak ada kepakaran.
MELAYU TIDAK CUKUP MATANG
Malangnya sering kali kebencian ”membunuh” kerasionalan. ... Adakah kebencian terhadap sesama bangsa dan sesama agama mewajarkan kita untuk membuka pintu kepada pihak lain yang siap siaga untuk menangguk di air yang keroh?
AGENDA PICISAN BUKAN MATLAMAT KITA
Sayangnya minda kita sedikit terusik apabila model wacanaparti-parti politik bukan lagi fokus kepada idea, perancangan dan program memperkasa umat bertaraf tinggi. Sebaliknya lebih pada agenda picisan yang diwarnai oleh mainan kata, sindiran dan ejekan. Apa yang umat Melayu dapat dari ”wacana” seperti ini?
Friday, March 13, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment