Thursday, March 12, 2009

Tradisi Kekalkan, Adaptasi Mesti Betul

“Hunuskan keris musuh ada pistol, tradisi kekalkan adaptasi mesti betul”. Demikian sebahagian dari senikata lagu Mantera Beradu nyanyian Malique dan M Nasir. Its fast becoming one of my favourite song, terutama selepas mendengar ceramah dari Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis sekarang) mengenai keadaan di Gaza.

Bagi kita rakan-rakan yang meminati dan menghayati seni beladiri, mari kita cuba hayati beberapa rangkap senikata lagu Mantera Beradu ini. Sememangnya M Nasir banyak membawa lagu-lagu yang mempunyai mesej, walaupun kadang-kadang terlalu ”puitis” sehingga tidak difahami maksudnya.

Dr Juanda menyatakan bagaimana Nabi Muhamad Rasulullah saw adalah seorang yang mengetahui realiti dalam membuat perancangan dan persediaan, dan kenyataan itu amat terkena kepada saya apabila menghayati rangkap ”... tradisi kekalkan adaptasi mesti betul”. Dr Juanda menunjukkan gambar sebuah jet tempur Israel, yang dibuat dengan ilmu, teknologi dan kewangan orang Israel sepenuhnya. Masa itu teringat saya kepada satu kenyataan dalam akhbar oleh salah seorang ”sukarelawan” dari Indonesia yang menawar diri untuk ke Gaza supaya ”saya boleh bunuh orang Israel dengan buluh runcing”.

”Hunuskan keris musuh ada pistol”. Dalam konteks peperangan skala besar, masih bercakap mengenai ”membunuh dengan buluh runcing” menunjuk satu sikap yang tidak memahami atau tidak menerima realiti ketika musuh mempunyai senjata seperti peluru berpandu jarak jauh, jet penggempur dan sebagainya.

Melihat kepada realiti semasa, dalam konteks dunia persilatan, setakat manakah buah pukul kita yang terhebat dapat membantu bangsa Melayu dan ummat Islam di negara ini membangun diri kita agar setaraf kemajuan dengan bangsa-bangsa lain di negara kita? Zaman dahulu siapa yang hebat persilatan nya itulah menjadi orang yang berkuasa dan berpengarah, tetapi di zaman sekarang kehebatan persilatan tidak menjamin kita akan terus ”berkuasa” dalam ertikata sebenarnya. Kehebatan persilatan dahulu telah di ganti oleh kehebatan ilmu dan teknologi dalam menentukan siapa yang ”berkuasa” sekarang ini.

Jadi masih relevan kah kita kekalkan buah pukul persilatan kita dalam dunia yang dikuasai oleh orang yang berilmu dan berteknologi?

”Tradisi kekalkan adaptasi mesti betul”. Tradisi persilatan apakah yang perlu dikekalkan jika ”hunuskan keris musuh ada pistol”? Bagaimana hendak mengekalkan tradisi tetapi di adaptasi agar relevan dengan realiti semasa?

Bagi saya, tradisi yang perlu dikekalkan bukan semata-mata teknik-teknik fizikal buah pukul persilatan tetapi yang lebih penting mengguna SEMANGAT PENDEKAR dari gelanggang persilatan di adaptasikan dan digunapakai di dalam bidang ilmu dan teknologi, dan seterusnya ekonomi ummat. Kita”pindahkan” semangat ketekunan dan kesungguhan kita berhempas pulas didalam gelanggang persilatan untuk memahirkan diri dengan buah pukul, mengguna semangat yang sama untuk ”berhempas pulas” memahirkan diri kita dengan ilmu dan teknologi terkini.

Dengan ertikata lain, tradisi semangat ”membunuh dengan buluh runcing” itu, semangat keperwiraan yang tidak gentar menghadapi cabaran yang besar, mestilah di kekalkan tetapi ”buluh runcing” itu sendiri perlu di adaptasi dengan realiti semasa dengan ”menggantinya” dengan ekonomi dan teknologi semasa, bermula dengan meningkatkan ilmu dan kepakaran.

Bangsa Jepun telah berjaya mengguna semangat samurai kuno iaitu bushido untuk bangkit dari kekalahan dan kemusnahan perang dunia, sehingga kini menjadi salah sebuah kuasa ekonomi dan teknologi terunggul di dunia. Samurai mereka kalah tetapi SEMANGAT SAMURAI mereka terus membara memberi daya juang kepada rakyat Jepun.

Sehingga ke hari ini, saya difahamkan, ramai pemimpin dan tokoh-tokoh korporat Jepun yang masih aktif mengamal seni tradisi seperti aikido dan kendo, bukan untuk menjadi pendekar tempur fizikal tetapi untuk terus mengekalkan semangat kepahlawanan dan disiplin dalam gelanggang yang kemudiannya mereka terjemah kedalam ”gelanggang” ekonomi dan teknologi mereka. Kerajaan Malaysia terus menghantar pelajar-pelajar ke Jepun untuk mempelajari teknologi mereka, sebagai satu pengiktirafan kita terhadap keunggulan teknologi mereka.

Kenapakah Amerika Syarikat dan Israel takut kepada Republik Islam Iran? Ini kerana dengan semangat ”membunuh dengan buluh runcing” rakyat Iran telah dapat membangun banyak teknologi mereka sendiri, termasuk teknologi ketenteraan dan kuasa nuklear. Berbanding dengan negara-negara Arab yang lain, yang ”kekuatan” ketenteraan mereka ialah melalui membeli teknologi ketenteraan khasnya dari Amerika. Sudah pasti orang yang membuat teknologi berkenaan tahu kelemahan dan cara-cara untuk mengalahkan teknologi itu. Sebab itu Amerika (dan Israel) tidak takut kepada Saudi Arabia atau mana-mana negara Arab lain kerana mereka lah (Amerika) yang sebenarnya memegang apa jua ”kekuatan” ketenteraan negara-negara ini.

Berlainan dengan Iran. Teknologi ketenteraan dibangunkan sendiri, sanggup bersusah payah dengan semangat ”membunuh dengan buluh runcing” tadi. Mereka tidak mengambil jalan mudah dengan membeli keseluruhannya persenjataan dari negara luar. Jadi sudah tentu Amerika (dan Israel) tidak tahu kekuatan sebenar atau kelemahan teknologi persenjataan ini. Inilah yang merimaskan mereka (Amerika dan Israel). Dalam dunia persilatan pun, kalau kita tidak tahu kekuatan sebenar pihak lawan sudah pasti kita lebih berhati-hati ... masuk membabi buta mungkin membawa padah!

Malaysia masih lagi menjadi negara pengguna teknologi, termasuk dalam bidang ketenteraan. Dalam persenjataan kita masih di tahap ”pemasang” (assembler) iaitu memasang teknologi persenjataan asing ’dibawah lesen’ dari pengeluar asal. Dalam konteks keselamatan dan kedaulatan negara, rakyat Malaysia masih perlu meningkatkan semangat ”membunuh dengan buluh runcing” dalam bidang R&D teknologi sehingga kita mampu mengeluarkan persenjataan berteknologi kita sendiri. Selagi kita bergantung sepenuhnya dengan membeli teknologi persenjataan dan pertahanan dari pihak luar, selagi itu kita tidak benar-benar kuat dan berdaulat kerana sentiasa dapat di pantau dan di ”tegur” oleh negara yang menjual persenjataan itu kepada kita.

”Masuk tempat orang, bawa otak bukan pisau”. Kita ketahui di kebanyakan negara apa yang berlaku ialah penjajah bukan datang membawa senjata tetapi datang dengan ideologi dan cara berfikir yang mereka serapkan kedalam penduduk tempatan. Serangan penjajahan seperti ini tidak dapat di tepis dengan buah pukulan persilatan kita yang hebat tetapi dengan kehebatan daya fikir, ilmu dan jatidiri kita sendiri. Sekarang ini realiti nya ialah ”menang dengan otak, tak mesti dengan pedang”.

Pokoknya, kita mesti mencari jalan bagaimana hendak menggunapakai semangat keperwiraan yang dibuktikan di dalam gelanggang persilatan diterjemahkan kepada ”gelanggang” pemikiran, ilmu dan teknologi. Masa untuk ”bermegah” dengan kehebatan buah pukul persilatan kita sudah tidak relevan lagi jika kita tidak dapat bermegah dengan pencapaian kita dalam bidang pemikiran, ilmu dan teknologi dengan semangat keperwiraan yang sama.

Diperingkat pertubuhan-pertubuhan silat seperti PESAKA dan RSS, perancangan sepatutnya tidak terbatas kepada memikirkan berapa pingat dapat kita perolehi di pertandingan yang mendatang tetapi juga sama-sama memikirkan bagaimana semangat persilatan ini dapat diterjemahkan kedalam bidang pendidikan dan jatidiri remaja anak-anak bangsa, kerana itulah yang lebih diperlukan oleh bangsa dan negara kita sekarang. Jika hanya di asyikkan dengan menghitung berapa pingat hendak di menangi selagi itu kita tidak dapat menterjemahkan semangat pendekar kedalam realiti persaingan semasa. ”Risau kan perkara temeh, kita tak kan maju”

Semoga dapat difikirkan bersama. Allah hu ’alam

No comments:

Post a Comment